Baharuddin Hassan, 62, membersihkan tempahan batu nisan di bengkelnya di Paya Jaras, baru-baru ini. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Dulu selongkar sampah, OKU raih rezeki dari kepok pusara ibu

Foto FIKRI YUSOF

Kehidupan Baharuddin Hassan, 62, begitu daif hingga terpaksa menyelongkar timbunan sampah saban hari.

Orang kelainan upaya itu terpaksa mencari barangan lusuh untuk dijual demi sesuap nasi.

Perniagaan membuat kerusi dan bangku simen bagi menampung kehidupan enam beranak sejak 2009 pula tidak laku. Pernah sebulan langsung tiada tempahan.

Beliau yang mengalami masalah penglihatan sebaliknya menggunakan kemahiran tersebut bagi membina kepok pusara ibunya pada 2012.

Di luar sangkaan, pembinaan itu menarik minat waris si mati hingga akhirnya menjadi lubuk rezeki beliau selepas bertahun-tahun dirundung derita.

Kali ini, perniagaan kepok pusara yang diusahakannya menjadi. Kini, bapa kepada empat anak dikeluarkan dari senarai penerima bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Bahkan, beliau kerap dirujuk pelbagai pihak dalam urusan tanah perkuburan. Tidak kurang juga yang meminta beliau berkongsi pengalaman dan kepakaran.

Beberapa orang pekerja menyiapkan tempahan kepok

Masa susah

Mata kiri Baharuddin buta akibat terkena serpihan besi ketika bekerja sebagai buruh binaan pada 1968. Dua pembedahan telah dilalui tetapi penglihatannya tidak dapat diselamatkan. Sejak itu, beliau sukar mencari kerja.

Mujur Baharuddin dapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial. LZS juga menghulur sumbangan kelengkapan sekolah, hari raya dan baik pulih rumah.

Beliau hanya menampung hidup dengan membuat meja dan bangku simen. Namun, pelanggan lebih menggemari pembuatan menggunakan mesin.

Kehidupannya kian susah. Beliau terpaksa mencari tin aluminium, botol plastik atau kotak untuk dijual asalkan dapur berasap.

Hampir setiap hari beliau menggeledah pusat pembuangan sampah di Kuang, Sungai Buloh. Terik matahari mahupun bau busuk lali baginya.

Sesekali Baharuddin memancing di lombong dan memetik sayur liar seperti pucuk paku, kangkung atau pegaga. Lepaslah lauk makan malam keluarganya.

Hidup berubah

Selepas mula mengambil tempahan membina kepok di bengkelnya di Paya Jaras, kehidupan Baharuddin bertambah baik.

“Lepas saya siap pasang kepok dan batu nisan di pusara ibu di Selayang, ada orang berkenan dengan struktur menggunakan simen fero. Nampak cantik dan lain daripada lain.

“Orang itu menempah kepok untuk pusara ibunya. Itulah tempahan pertama saya. Selepas itu, beberapa orang lagi turut menempah,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Justeru, beliau lebih giat menjalankan perniagaan kepok dan batu nisan. Pendapatannya bertambah. Namun, perniagaan membuat bangku dan meja simen tidak pula ditinggalkan.

Untuk mengembangkan perniagaan, Baharuddin membuat pinjaman Yayasan Hijrah Selangor sebanyak RM5,000 pada 2015 untuk membeli bekalan kepok, batu nisan, simen dan pasir.

“Walaupun pinjaman RM5,000 tidaklah besar tetapi ia banyak membantu kerana dapat melancarkan lagi modal perniagaan untuk menyiapkan tempahan pelanggan,” katanya.

Kegigihan Baharuddin mendapat perhatian LZS sebelum ditawarkan bantuan bernilai RM30,000 berbentuk bekalan kepok, batu nisan, simen, pasir dan tiga mesin pada 2018.

Tempahan semakin banyak, bahkan ada dari Johor, Pahang, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.

Menyedari kesusahan lalu, Baharuddin juga menawarkan potongan harga kepada asnaf, anak yatim, orang kelainan upaya.

“Bukan semua waris si mati mampu bayar harga yang tinggi untuk membuat kepok dan batu nisan terutama fakir miskin. Sebab itu, saya beri potongan harga untuk mereka.

“Ini mendorong saya memudahkan urusan termasuk percuma terus, bergantung kepada situasi,” katanya

Baharuddin Hassan, 62, menyusun batu nisan di bengkelnya di Paya Jaras

Urus tanah perkuburan

Usaha Baharuddin turut mendapat perhatian pentadbiran Masjid Al-Huda, Sungai Buloh. Mereka meminta bantuan menaik taraf tanah perkuburan baharu fasa F di Paya Jaras. Pada 2019, Baharuddin membangunkan tanah perkuburan itu.

Kegigihan itu menarik perhatian ahli perniagaan yang mewakafkan dana untuk pembangunan tanah perkuburan itu.

“Alhamdullilah, impian memberi perkhidmatan tempahan kepok dan batu nisan terutama kepada mereka yang kurang mampu serta membangunkan tanah perkuburan untuk kemudahan masyarakat Paya Jaras tercapai.

“Walaupun banyak menghabiskan dana, tenaga dan masa tetapi saya bersyukur sekurang-kurangnya dapat membalas jasa LZS yang banyak membantu,” katanya.


Pengarang :