DYTM Raja Muda Selangor berkenan menyantuni peserta Zaim Zazami Ibrahim, 35, selepas penyampaian hadiah tempat kedua dalam pusingan akhir Liga Usahawan OKU Selangor, SAY LEAD (Leadership, Entrepreneurship, Acceleration and Development) berlangsung di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada 6 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

DYTM Tengku Amir Shah pilih peserta terbaik Liga Usahawan OKU

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan memilih tiga peserta terbaik pada pusingan akhir Liga Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor hari ini.

Mereka terdiri daripada pengusaha baja kompos dan makanan haiwan, Abdul Rahim Muda, 32; pengusaha bengkel kenderaan, Md Rizuan Rahim, 33, serta pengusaha kelas jahitan dalam talian dan buku pola jahitan, Zaim Zazami Ibrahim, 35.

“Anda semua memiliki idea yang sangat unik malah mengusahakan perniagaan yang berpotensi tinggi. Beta percaya, sekiranya anda terus bekerja keras, yakin dengan diri sendiri maka tidak mustahil anda akan berjaya dalam bidang diceburi.

“Selamat maju jaya dan tahniah kepada semua peserta akhir kerana memberi sepenuh komitmen sepanjang mengikuti kursus perniagaan bersama Selangor Youth Community Leadership, Entrepreneurship, Accelaration and Development (SAY LEAD),” titah baginda.

Tengku Amir Shah bertitah demikian selepas berkenan menyampaikan piala dan sijil pengiktirafan kepada usahawan terbabit di Hotel Concorde di sini.

Kemenangan itu turut melayakkan mereka menerima manfaat ruang kerja selama setahun dengan kerjasama bahagian pembangunan usahawan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan geran pembungkusan daripada Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).

Selain itu, mereka berpeluang mendapat program bimbingan tambahan selama setahun untuk membantu mengembangkan perniagaan melalui akses pasaran baharu, digitalisasi perniagaan serta pasaran eksport.

Terdahulu, baginda antara lima juri mengadili 10 usahawan OKU membuat pembentangan pada pusingan akhir liga anjuran organisasi diasaskan Tengku Amir Shah.

Penilaian turut dilakukan Ahli Dewan Negara dan wakil OKU Senator Datuk Ras Adiba Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Siti Zubaidah Abd Jabar, pakar bidang khusus Smart State Dr Mohammad Fahmi Ngah serta Pengurus Besar Yayasan Hasanah Shahira Ahmed Bazari.

Program SAY LEAD berlangsung enam bulan sejak November tahun lalu membabitkan 20 peserta.

Kesemua mereka menjalani kursus perniagaan merangkumi profil keusahawanan, pembangunan perniagaan, pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran, inovasi perniagaan dan lawatan premis usahawan, kursus komunikasi perniagaan dan profil serta kolaborasi bersama pemegang taruh.

 


Pengarang :