Dato’ Seri Amirudin Shari dalam sidang media Majlis Pelancaran Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

ECRL: Jajaran utara jejaskan 1.2 juta pemegang akaun air

SHAH ALAM, 12 APRIL: Lebih 1.2 juta pemegang akaun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd termasuk sektor industri sekitar Lembah Klang bakal berdepan masalah sekiranya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan mengikut jajaran utara.

Dato’ Menteri Besar berkata laluan melibatkan kawasan Gombak dan Serendah itu akan melalui empangan Sungai Selangor dan Sungai Langat yang kedua-duanya merupakan sumber utama air negeri.

“Empangan Sungai Selangor membekalkan 60 peratus di Selangor dan Kuala Lumpur manakala selebihnya dari Sungai Langat.

“Jika berlaku pencemaran di sungai ini, ia akan beri kesan besar. Ia berdasarkan pengalaman kita dalam pembinaan MRT (Transit Aliran Massa), Transit Aliran Ringan (LRT) serta lebuh raya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media melancarkan Program Geran Padanan Digitalisasi Perbadanan Kecil Sederhana (PKS) hari ini.

Beliau berkata, meskipun pembinaan ECRL menggunakan teknologi terkini dari negara maju, namun ia tetap memberi kesan pada persekitaran.

“Itu bukan jangkaan kita tetapi pengalaman. Semua (pembinaan) menyebabkan banjir, keladak. Jika fokus pada laluan selatan tetap ada sungai terganggu tetapi risikonya tidak seteruk di jajaran utara,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata tindakan Kerajaan Persekutuan mengekalkan laluan jajaran utara gagal mendatangkan impak positif kepada ekonomi Selangor.

Menurutnya keputusan melulu itu dianggap merugikan kerana pembangunan dikatakan bakal berlaku di Serendah sudah dijalankan membabitkan jenama besar seperti UMW dan Perodua.


Pengarang :