EXCO Pelaburan, Dato’ Teng Chang Khim bercakap kepada media selepas merasmikan pra pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 April 2021. Foto INVEST SELANGOR
AGENDANASIONAL

ECRL: Keputusan Persekutuan melulu, jajaran utara gagal bangunkan ekonomi

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Tindakan Kerajaan Persekutuan mengekalkan laluan jajaran utara bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) gagal mendatangkan impak positif kepada ekonomi Selangor.

EXCO pelaburan berkata keputusan melulu itu dianggap merugikan kerana pembangunan dikatakan bakal berlaku di Serendah sudah dijalankan membabitkan jenama besar seperti UMW dan Perdua.

“Penggunaan jajaran selatan lebih menguntungkan susulan terdapat beberapa lokasi yang mampu menjana pendapatan negara.

“Ia ternasuk kawasan luar bandar dan salah satunya Pulau Carey yang berpotensi menjadi pelabuhan ketiga. Sekiranya Malaysia ingin bersaing dengan Singapura, kita perlu bangunkan infrastruktur utama sebegini,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pra pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Chang Khim juga sekali lagi menegaskan Selangor tidak akan memberikan tanah kepada kerajaan Persekutuan sekiranya projek ECRL akan menggunakan jajaran utara seperti dicadangkan pada era Barisan Nasional (BN).

“Ini bukan pendirian saya tetapi Kerajaan Negeri. Kita bukan sekadar memandang dari sudut ekonomi sebaliknya turut melihat kepada aspek alam sekitar yang mungkin akan terjejas,” katanya.

Berdasarkan jajaran asal, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor dari utara melalui Gombak ke Serendah dan Pelabuhan Klang.

Jajaran tersebut bagaimanapun diubah pentadbiran Pakatan Harapan supaya tidak melalui Bentong dan Gombak bagi mengelak pembinaan terowong sepanjang 17.8 kilometer melalui Permatang Kuarza.

ECRL dijangka siap pada 2026 dan perkembangan projek mencapai 20.37 peratus sehingga Januari lalu berbanding jangkaan asal 19.39 peratus.


Pengarang :