Wakil Pusat Wanita Berdaya (PWB) pelbagai daerah mempamerkan produk Hasil Suri Selangor (HaSSeL) di ruang jualan Pusat Wanita Berdaya selepas merasmikan Pelancaran Wanita Berdaya Selangor dan Perasmian Ekspo HaSSel di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Ekspo Hasil Suri Selangor secara maya dilanjut setahun

SHAH ALAM, 28 APRIL: Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) secara maya akan dilanjutkan hingga April tahun depan bagi memudahkan orang ramai membeli-belah.

EXCO pemberdayaan wanita berkata ia susulan sambutan positif diterima sepanjang lima hari penganjuran ekspo yang dilancar pada 24 April lepas.

“Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) yang berlangsung lima hari sejak Sabtu lalu mencatat keuntungan lebih RM5,000.

“Jumlah itu merupakan pencapaian cemerlang dan yakin ekspo berkenaan mampu menjadi platform golongan wanita menjana pendapatan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau ditemui selepas majlis penutup Ekspo HaSSel 2021 di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Menurut Dr Siti Mariah, sepanjang ekspo berlangsung, produk makanan terutama biskut raya menjadi pilihan ramai memandangkan Aidilfitri bakal menjelang tiba.

Sehubungan itu, Dr Siti Mariah menjemput orang ramai mendaftar di www.expohassel.com untuk merasai pengalaman dan suasana baharu membeli-belah.

HaSSel dilancarkan Sabtu lepas merupakan landasan bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) wanita memperkenalkan produk bagi tujuan komersial.

Bagi penganjuran tahun ini 830 produk ditawarkan, sejumlah RM400,000 diperuntuk bagi menjayakannya.


Pengarang :