Dr Siti Mariah Mahmud meluangkan masa meninjau hasil produk selepas Pra Pelancaran Tanjung Seri di Isetan KLCC, Kuala Lumpur pada 8 September 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Ekspo Hasil Suri Selangor secara maya Sabtu depan

SHAH ALAM, 17 APRIL: Orang ramai dijemput memeriahkan Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) secara maya selama empat hari mulai Sabtu depan.

Ekspo yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam memberi peluang kepada orang awam merasai pengalaman baharu membeli-belah secara maya.

“Hanya menggunakan telefon bimbit, anda sendiri akan mengalami suasana baharu dengan pelbagai aktiviti dan program yang menarik sepanjang ekspo ini berlangsung.

“Daftar sekarang di laman sesawang http://www.expohassel.com,” menurut hebahan di Facebook HaSSel – Ekspo Hasil Suri Selangor.

Menurutnya lagi, terdapat 100 gerai jualan yang menawarkan pelbagai produk hasil tangan wanita negeri ini.

“Anda boleh pilih, beli dan barangan anda akan dihantar terus ke rumah. Bolehlah ‘shopping’ raya sekali,” katanya.

Selain itu, ekspo yang menyediakan 56 bengkel masakan, kraftangan dan pelbagai lagi menawarkan lima iPhone untuk diberi kepada pengunjung bertuah.

HaSSel merupakan landasan bagi usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) wanita memperkenalkan produk bagi tujuan komersial.

Ia adalah inisiatif Kerajaan Negeri memperkasakan golongan wanita di Selangor terutamanya mereka mempunyai masalah daripada segi sosio ekonomi.


Pengarang :