AGENDANASIONAL

Elak ubah kedudukan meter elektrik tanpa maklumkan TNB

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Pemilik kediaman yang berhasrat untuk mengalih atau mengusik pepasangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) termasuk meter elektrik ketika membuat pengubahsuaian dinasihatkan untuk memaklumkan kepada TNB terlebih dahulu.

Dalam kenyataan di sini, hari ini TNB memaklumkan kebenaran perlu diperoleh daripada syarikat itu sebelum pengalihan pepasangan dilakukan supaya sebarang kerja yang dijalankan mengikut spesifikasi TNB dan tidak menganggu bekalan elektrik.

“Pengalihan pepasangan TNB yang tidak teratur boleh mengakibatkan gangguan bekalan yang kerap, kejadian voltan berlebihan, litar pintas atau kebakaran di kediaman pengguna,” menurut kenyataan itu.

Penglibatan diri dalam sebarang aktiviti berhampiran pepasangan elektrik tanpa kebenaran sah termasuk tindakan mengusik atau mengalihkan kedudukan meter elektrik TNB menjadi kesalahan mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Individu yang disabitkan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

Bagi sebarang pertanyaan berkaitan akaun dan bil, pelanggan disarankan untuk menghubungi TNB CareLine di talian 1300885454 atau e-mel kepada [email protected] atau kunjungi Kedai Tenaga yang berhampiran.

– BERNAMA


Pengarang :