Rodziah Ismail (tengah) menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk terkesan Covid-19 di Pusat Khidmat Ahli Majlis MBPJ ZON15, Stadium Hoki Jalan Selangor baru-baru ini. Foto ihsan Rodziah Ismail
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Empat PPR dapat baucar makanan, manfaat 2,635 penyewa

SHAH ALAM, 1 APRIL: Sebanyak empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) negeri ini menerima baucar belian barangan asas bernilai RM50 setakat Februari.

EXCO perumahan berkata sumbangan kepada 2,635 penyewa diagih secara berfasa mulai Januari yang boleh ditebus di pasar raya 99 Speedmart.

Rodziah Ismail menjelaskan inisiatif Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban golongan terjejas pendapatan susulan wabak Covid-19.

“Setiap keluarga di PPR Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah dan PPR Council Home, Bangi akan terus menerima manfaat ini sehingga Julai.

“Pada Mei, jumlah baucar ditambah kepada RM100 sebagai persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya menambah sebanyak RM827,750 diperuntuk untuk membantu penghuni PPR terbabit.

Rodziah berkata sumbangan sama turut diberikan kepada hampir 3,000 penduduk PPR Lembah Subang membabitkan dana RM150,200 bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Pakej Kita Selangor yang diumum pada 20 Januari memperuntuk RM4.35 juta bagi menjayakan program Bakul Makanan untuk membantu golongan terjejas akibat wabak Covid-19.

Bantuan itu meliputi pemandu teksi dan bas, petugas barisan hadapan, penyewa PPR, warga tani dan pemandu lori KDEB Waste Management.

 


Pengarang :