Petugas program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) menunjukkan kad pendaftaran vaksin di Dataran Puchong Permai, Puchong pada 4 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO gesa ketua kampung kesan individu belum daftar vaksin

KUALA LANGAT, 8 APRIL: Ketua kampung seluruh negeri diminta mengumpul maklumat individu yang belum mendaftar suntikan vaksin Covid-19 di kawasan masing-masing.

EXCO pembangunan luar bandar berkata hebahan melalui poster, kain rentang, masjid dan surau turut dipergiat bersama pihak berkuasa tempatan bagi menggalakkan lebih ramai mendaftar.

“Saya minta ketua kampung bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk kumpul maklumat dan mengadakan kempen kesedaran.

“Sekiranya penduduk ada masalah capaian internet, ketua kampung bertanggungjawab membantu mereka untuk mendaftar,” kata Borhan Aman Shah kepada Selangorkini.

Kerajaan Negeri melancarkan program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) pada 4 April bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran mendaftar vaksin termasuk warga emas dan Orang Asli.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu dibuat berikutan 37 peratus isi rumah di negeri ini tidak ada capaian kepada telefon pintar berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019.

Setakat 3 April, hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta penduduk Malaysia mendaftar program suntikan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.


Pengarang :