Petugas kesihatan menjalankan ujian makmal ke atas sampel calitan orang ramai menggunakan mesin analisis Standard F200 SD Biosensor ketika Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada 13 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Saringan bersasar kawasan sekolah tumpu empat daerah

SHAH ALAM, 24 APRIL: Saringan bersasar di kawasan berhampiran sekolah akan bermula minggu hadapan dengan menumpukan empat daerah.

EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia meliputi Petaling, Klang, Hulu Langat dan Gombak yang dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi jangkitan Covid-19.

Beliau menjelaskan pemilihan sekolah berkenaan ditentukan pasukan petugas khas terdiri daripada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan ucapan dalam Persidangan Wanita Selangor Hybrid 2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Mereka (pasukan petugas khas) baru bermesyuarat beberapa hari lepas dan akan tentukan di mana akan dibuat saringan tersebut kerana kita (Kerajaan Negeri) tiada maklumat terperinci,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Persidangan Wanita Selangor sempena Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) Hybird di Foyer SUK di sini hari ini.

Sebelum ini, sebanyak 19 sekolah di Selangor ditutup selama tujuh hari mulai Isnin bagi mengekang peningkatan kluster sekolah.

Sepanjang minggu lalu, Kerajaan Selangor memantau jangkitan wabak dalam kalangan warga sekolah sebelum tindakan lanjut diambil.

Ia termasuk mengesan punca jangkitan serta potensi perebakan kes.

 


Pengarang :