Hee Loy Sian (dua, kanan) meninjau Tapak Projek Ladang Solar Selagor di Bukit Changgang, Kuala Langat pada 30 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

EXCO: Tanah status pertanian boleh bangunkan ladang solar

KUALA LANGAT, 30 APRIL: Tanah berstatus pertanian di Selangor kini boleh dijadikan sebagai tapak untuk membangunkan projek Ladang Solar Berskala Besar (LLS) di negeri ini, kata Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri Hee Loy Sian.

Katanya, sebelum ini antara ketetapan yang digariskan untuk membangunkan projek LSS adalah ia harus dibangunkan di atas tanah berstatus industri.

“Sebelum ini (pengusaha) mengalami masalah status tanah tapi sekarang kami mudahkan mereka iaitu status tanah pertanian boleh dibuat ladang solar, sebelum ini kami tetapkan tanah industri tetapi sekarang tidak perlu,” katanya pada pemberita selepas meninjau projek LLS di Kuala Langat hari ini.

Hee berkata mana-mana pengusaha yang berminat untuk membangunkan ladang solar boleh meneliti Garis Panduan Perancangan Ladang Solar Negeri Selangor yang telah diluluskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 16 Disember 2020.

Jelasnya lagi setakat ini, di Selangor sebanyak dua projek LLS telah dibangunkan di atas darat berkeluasan 98.34 hektar pada 2018 dan 21.45 hektar ladang solar terapung tahun lepas di Kuala Langat.

“Dalam perancangan akan datang, ada dua lagi syarikat (tempatan) membuat permohonan ladang solar atas tanah di Klang dan satu lagi ladang solar terapung di Hulu Selangor. Kami (kerajaan negeri) telah bagi kelulusan untuk mereka buat bidaan di bawah Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :