AGENDASUKANKINI

FAM telus, tidak berpihak laksanakan hukuman

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sentiasa mengambil pandangan dan mengikut lunas undang-undang dalam menjatuhkan hukuman atau membuat sebarang keputusan penting demi memelihara keharmonian kancah bola sepak tempatan.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata badan induk bola sepak negara itu sentiasa bertindak sebagai ‘orang tengah’ dan segalanya dilakukan secara telus termasuk keputusan melibatkan mutu pengadilan ataupun kelakuan pemain.

Katanya, sesuatu hukuman serta keputusan juga dibuat tanpa tekanan daripada mana-mana pihak termasuk warga maya yang lantang menyuarakan pandangan menerusi media sosial sehingga memberikan persepsi negatif terhadap FAM.

“Kalau kita mengikut tekanan daripada warga maya setiap perlawanan kita perlu ambil tindakan, saya rasa FAM tidak begitu. Segala yang dilaporkan FAM dan tindakan ke atas pengadil atau pemain semua diterangkan dengan jelas, tiada yang disembunyikan.

“Tugas FAM adalah untuk kekal tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak atau dalam apa jua situasi, kita ambil kedudukan tengah untuk memastikan keputusan dibuat dengan betul,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Stuart berkata FAM juga sentiasa mendapatkan pandangan daripada setiap jawatankuasanya yang terlibat selain mekanisme pelaksanaan hukuman mengikut prosedur yang betul.

“Tetapi ada keputusan yang diambil secara dalaman, namun kita masih mengikut undang-undang permainan,” tambah beliau.

Sebagai rekod, tiga pengadil telah dikenakan hukuman sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2021 dengan dua daripadanya digantung tugas selama dua minggu sementara seorang lagi diarahkan mengikuti program penambahbaikan.

Sementara itu, tiga pemain iaitu pemain Petaling Jaya City FC Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri, Hein Htet Aung (Selangor FC 2) dan Ignacio Insa Bohigues (JDT) telah digantung dua perlawanan atas kesalahan berbeza manakala Jack Raymond Hindle (Kelantan FC) dan Alex Dos Santos (Melaka United) hanya diberi amaran keras.

Musim ini menyaksikan kualiti pengadilan pegawai perlawanan tempatan sekali lagi menjadi perhatian, selain timbul insiden menolak pengadil melibatkan beberapa pemain import dan tempatan, namun Stuart menegaskan FAM sentiasa mencari jalan terbaik bagi membendung sesuatu yang tidak diingini berlaku.

– BERNAMA


Pengarang :