Orang awam memilih baju raya di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 18 Mei 2020 sebagai persediaan menyambut Aidilfitri minggu depan. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Festival Ramadan dapat sambutan, peniaga jana pendapatan semula

SHAH ALAM, 29 APRIL: Festival Ramadan Selangor (Festira) yang kembali diadakan tahun ini di tiga lokasi mendapat sambutan menggalakkan.

Pemangku pengurus pusat Kompleks PKNS Shah Alam & SACC Mall, PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) berkata berdasarkan kehadiran pengunjung, pihaknya yakin peniaga mampu meraih pendapatan tinggi.

“Bermula minggu hadapan, operasi perniagaan dilanjutkan sehingga 12 tengah malam manakala minggu terakhir Ramadan hingga jam 2 pagi kerana kita yakin lebih ramai akan berkunjung.

“Langkah ini memudahkan orang awam mendapatkan keperluan Aidilfitri selain mereka diberi banyak pilihan,” kata Syahril Mohd Rashid kepada SelangorKini hari ini.

Menurutnya, sejak dilangsungkan pada 26 Mac, PREC memantau pematuhan SOP dalam kalangan peniaga dan pengujung bagi mengekang penularan Covid-19.

“Penguat kuasa daripada Majlis Bandaraya Shah Alam, Kementerian Kesihatan Malaysia dan polis sentiasa memantau operasi festival,” katanya.

Festira tahun ini berlangsung hingga 12 Mei di Kompleks PKNS Shah Alam dan Bangi serta SACC Mall selain penjualan secara dalam talian di http://BazaarLokal.com.

Tahun lalu, Festira yang melibatkan kira-kira 1,100 lot gerai terpaksa dibatalkan susulan penularan wabak Covid-19.


Pengarang :