Datuk Seri Najib Tun Razak (dua, kiri) hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Gagal bayar cukai RM1.69 bilion, LHDN fail notis bankrap terhadap Najib

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Kerajaan memfailkan notis kebankrapan terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi pada Julai tahun lepas.

Mengikut dokumen yang difailkan di mahkamah, Kerajaan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memfailkan notis itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 4 Feb lepas terhadap Najib selaku penghutang.

Berdasarkan notis berkenaan, Najib perlu membayar RM1.69 bilion dengan lima peratus kadar faedah setahun atas jumlah baki dari 22 Julai 2020 (tarikh keputusan Mahkamah Tinggi) hingga 4 Feb 2021 iaitu RM45.9 juta serta kos RM15,000 dan setakat 4 Feb 2021 jumlah itu menjadi RM1,738,804,204.16.

Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion, selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.

Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib ketika dihubungi berkata mahkamah menetapkan 5 Mei ini untuk pengurusan kes itu.

“Datuk Seri Najib menerima salinan notis itu semalam,” katanya.

Najib telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan yang menetapkan 16 Jun untuk mendengar rayuannya.

Mengikut Seksyen 103(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar hutang itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun beliau menfailkan rayuan.

Oleh itu LHDN menfailkan notis kebankrapan terhadap Najib kerana masih gagal membayar jumlah berkenaan sehingga kini.

Hari ini Mahkamah Tinggi Sivil, menetapkan 11 Jun untuk mendengar permohonan Najib bagi menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi itu.

Hakim Datuk Ahmad Bache menetapkan tarikh itu semasa pengurusan kes berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :