Ketua Pegawai Eksekutif Agroprenuer, Natelia Farehah Raimi (kanan) dan Pengurus Besar Agrosel, Mohd Safuan Radzali (kiri) menukar penjanjian MOU di antara Persatuan Agroprenuer Selangor (Agrosel) dan Agroshop Sdn Bhd sambil disaksikan Exco Kerajaan Negeri, Ir Izham Hashim di Wisma PKPS, Shah Alam pada 12 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Galak usahawan tani guna AgroShop.My, sasar 1,000 produk dijual

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kerajaan Negeri menyasarkan 1,000 produk akan dijual menerusi platform e-dagang AgroShop.My hingga hujung tahun ini.

EXCO industri asas tani berkata pihaknya menggalakkan lebih ramai usahawan tani mengguna saluran tersebut untuk mempromosi produk sekali gus menjana pendapatan.

“Bagaimanapun, kita mahu mereka yang menyertai jualan e-dagang ini mempunyai kesungguhan dalam berniaga dan kekalkan reputasi agar produk mudah didapati atau tidak bersifat sementara.

“Kita tidak mahu sekiranya usahawan sudah menerima pesanan namun pengeluaran produk terbantut kerana tidak mampu memenuhi permintaan pelanggan,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persatuan Agroprenuer Selangor (Agrosel) dan AgroShop Sdn Bhd di Wisma PKPS di sini.

Pada masa sama, Pengurus Besar Agrosel, Mohd Safuan Radzali berkata pihaknya bersedia membantu golongan tersebut memasarkan produk dan membuat pembungkusan menarik.

“Kita akan menyediakan kursus bersesuaian dan beri bimbingan kepada usahawan ini untuk membungkus produk mengikut tren masa kini,” jelasnya.


Pengarang :