Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) pada sidang media Majlis Pelancaran Geran Padanan Digitalisasi PKS Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Geran padanan bantu peniaga kecil beralih ke konsep maya

SHAH ALAM, 12 APRIL: Program Geran Padanan Digitalisasi Perbadanan Kecil Sederhana (PKS) dilancarkan bagi membantu peniaga beralih dari konsep fizikal ke maya.

Dato’ Menteri Besar berkata bantuan antara RM1,000 hingga RM5,000 bakal memanfaatkan 1,000 usahawan kecil negeri ini bergantung kepada keperluan.

“Kelulusan nilai geran bergantung keperluan membabitkan aspek e-dagang, pameran digital, sistem sumber manusia, perakaunan dan pasaran elektronik.

“PKS yang kekurangan sumber digalakkan memohon inisatif ini demi mengukuhkan jangkauan pendigitalan perniagaan mereka,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan program berkenaan.

Turut hadir EXCO Industri Kecil dan Sederhana Dato’ Teng Chang Khim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron.

Amirudin berkata PKS yang ingin memohon perlu memenuhi beberapa syarat antaranya beroperasi selama setahun di negeri ini dan mencatat perolehan tahunan lebih RM300,000.

Beliau menambah permohonan berlangsung selama sebulan mulai 15 April, jam 12 tengah hari melalui pautan https://www.sidec.com.my/selangorgrant2021/.

“Beberapa panel agensi kerajaan akan menilai semua permohonan bagi memastikan agenda program berkesan sekali gus memberi pulangan kepada kerajaan,” katanya lagi.


Pengarang :