Dato’ Teng Chang Khim (lima, kiri) bergambar bersama sebahagian pempamer Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) selepas melancarkan acara itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 8 April 2021. Foto Invest Selangor
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Gerbang pelaburan Asean, sidang niaga kukuh reputasi Selangor

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) dijangka terus mengukuhkan kedudukan negeri sebagai destinasi pelaburan terbaik Asia Tenggara.

EXCO perdagangan dan perindustrian berkata acara tahunan itu pernah menjana nilai transaksi tertinggi sebanyak RM247.3 juta pada 2019 dan RM204.2 juta pada 2017.

“Tahun lalu acara ini dibuat secara maya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan, oleh itu SIBS tahun ini sangat penting sebagai penanda aras pembangunan semula ekonomi negeri di rantau Asean.

“Kami amat menggalakkan peserta antarabangsa kembali meneroka pelbagai peluang menerusi acara ini,” kata Dato’ Teng Chang Khim ketika praperasmian SIBS di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Sidang perniagaan itu dijadual berlangsung mulai 7 hingga 10 Oktober ini.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Invest Selangor berkata SIBS 2021 diadakan secara hibrid membabitkan dalam talian dan fizikal.

Dato’ Hasan Azhari Idris berkata seramai 840 pempamer bakal mengambil bahagian yang dijangka disertai 15,000 pengunjung dari 24 negara.

“Terdapat enam acara utama diketengahkan iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (makanan dan minuman), Persidangan Perniagaan Asean Selangor, Konvensyen Digital Ekonomi dan Bandar Pintar Selangor.

“Sementara dua acara baharu ialah Ekspo Antarabangsa Selangor (perubatan) dan Ekspo Taman Industri Selangor,” katanya.

 


Pengarang :