Vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Emile Muller, Mulhouse, Perancis pada 8 Januari 2021. Foto AFP
AGENDANASIONAL

Guna dana amanah bukti kerajaan PN tidak cekap urus kewangan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membuktikan kerajaan tidak cekap menguruskan kewangan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata pengumuman itu amat mengecewakan sekali gus menyerlahkan kegagalan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dalam menangani pandemik.

“Walaupun dilengkapi dana Belanjawan 2021 yang melebihi RM300 bilion, terbesar dalam sejarah negara kerajaan masih gagal memerangi Covid-19.

“RM3 bilion yang mencukupi menurut Menteri Koordinasi PICK Khairy Jamaluddin nampaknya tidak cukup.

“Permasalahan utama bukan lagi terletak pada jumlah peruntukan tetapi kecekapan dan kebijaksanaan pemerintahan,” kata Shamsul Iskandar Md Akin dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Shamsul yang juga ahli parlimen Hang Tuah Jaya mencadangkan bilangan jemaah menteri dikurangkan berikutan langkah itu mampu menjimatkan RM7 bilion wang negara.

Menurutnya, pemerolehan vaksin harus diperluas merentasi syarikat swasta dan kerajaan negeri selain membenarkan pembelian serta pengedarannya yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara.

“Sekiranya kerajaan kebuntuan dan tidak berkemampuan menguruskan krisis ini, buka parlimen dan kita bincang bersama mencari jalan penyelesaian terbaik demi rakyat serta negara,” katanya lagi.

Kelmarin, media melaporkan kerajaan meluluskan undang-undang menggunakan dana KWAN untuk tujuan itu.

Ia dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 semalam.

Menurut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

 


Pengarang :