Tinjauan lokasi kejadian komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras pada 24 Mac 2021. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Guna dron, alat pengesan jarak jauh pantau tapak pembinaan

PETALING JAYA, 6 APRIL: Pemain industri pembinaan digesa menggunakan dron atau alat pengesan jarak jauh dalam usaha mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.

Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Zailee Dollah berkata penggunaan kedua-dua teknologi itu dilihat berkesan bagi memastikan kadar pematuhan peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP).

Beliau berkata penggunaan teknologi itu dipercayai dapat membantu mengurangkan kemalangan yang kerap berlaku dan meningkatkan KKP pada aras tertinggi.

“Selain itu, jumlah kemalangan maut di tapak pembinaan pada 2019 turun sebanyak 22 peratus sejak garis panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) diperkenalkan empat tahun lepas.

“Sebanyak 189 kes direkodkan pada 2017 manakala pada 2018 dan 2019 masing-masing mencatatkan 169 dan 144 kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis persidangan tahunan KKP Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai sindiket kartel projek yang berjaya ditumpaskan Ahad lepas, beliau berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan.

“Perkara ini, kita baru tahu ia wujud… kalau tidak ada penangkapan kita tidak akan tahu maka biarlah pihak berkuasa dan kerajaan yang ambil tindakan,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menumpaskan sindiket kartel projek dengan penahanan tujuh individu termasuk seorang ketua sindiket.

Sindiket kartel projek yang dikatakan beroperasi sejak 2014 itu telah memonopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek RM3.8 bilion.

– BERNAMA


Pengarang :