Jemaah Masjid Sultan Ahmad Shah Tok Sira bertadarus Al-Quran secara berkumpulan bagi mengimarahkan lagi sambutan Hari Nuzul Al-Quran pada 29 April 2021. Foto BERNAMA
RENCANA

Guna kanta pembesar tidak halang nenek 72 tahun khatam al-Quran

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Biarpun sudah lanjut usia dan mengalami masalah penglihatan, ia bukan penghalang bagi Rokiah Arshad, 72, untuk belajar sehingga berjaya khatam al-Quran, bersempena Nuzul al-Quran, hari ini.

Rokiah adalah antara 120 peserta program Jom Celik Al-Quran anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Institut Pengajian Al-Quran (Ipaq), yang diraikan pada Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Wilayah Persekutuan.

Nenek kepada 13 cucu itu berkata program tersebut banyak membantunya mempelajari ilmu agama serta memperbaiki teknik membaca kitab suci itu walaupun terpaksa menggunakan kanta pembesar akibat masalah selaput mata yang mengehadkan penglihatannya.

“Nenek sangat seronok, bertuah dapat khatam al-Quran hari ni dan tidak ada rasa segan dalam usia begini untuk terus mencari ilmu dan membaca al-Quran.

“Memang perlu guna kanta pembesar setiap kali membaca (al-Quran), tapi tidaklah terlalu sukar…cikgu yang mengajar banyak membantu nenek,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berkenaan.

Sementara itu, Pengerusi MAIWP Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata program tersebut dilaksanakan khusus bagi golongan asnaf yang buta al-Quran dan merupakan antara inisiatif ke arah menjadikan program agihan zakat MAIWP sebagai program berimpak tinggi.

Beliau berkata MAIWP mahu memastikan golongan asnaf itu bukan hanya dibantu dalam bentuk material dan kewangan, malah turut disantuni dari aspek rohani.

“Program ini satu kejayaan kerana kami berjaya mengajar mereka sehingga khatam dalam tempoh 17 hari (bermula 18 Julai 2020) dan majlis khatam al-Quran ini sepatutnya diadakan tahun lepas, namun tertangguh susulan penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata program itu akan diteruskan pada masa hadapan dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 120 peserta berjaya khatam al-Quran setiap tahun.

-BERNAMA


Pengarang :