“Tolong jaga jarak, tolong bagi kerjasama semua, sila patuhi SOP”, Begitulah peringatan yang dilaungkan Penguatkuasa Perbadanan Putrajaya (PPJ) Rooshasnida Fitriah di Bazar Ramadan Presint 3 Putrajaya pada 15 April 2021. FotoBERNAMA
AGENDANASIONAL

Guna pembesar suara, arah pengunjung bazar Ramadan Putrajaya jaga SOP

PUTRAJAYA, 15 APRIL: “Tolong jaga jarak, tolong bagi kerjasama semua, sila patuhi SOP”, itu antara laungan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) kepada pengunjung bazar Ramadan di Presint 3 hari ini.

Seawal 4.30 petang, orang ramai mulai membanjiri tapak bazar berkenaan dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan pendaftaran MySejahtera.

Pengunjung dilihat berbaris di luar bazar dan mematuhi arahan penggiliran untuk masuk ke bazar mengikut kapasiti tapak itu bagi mengelakkan kesesakan.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ketika melancarkan Op Pantau di tapak bazar berkenaan dilaporkan kurang berpuas hati dengan pematuhan SOP yang dipamerkan pengunjung yang ramai di bazar itu.

Tinjauan Bernama hari ini di bazar berkenaan mendapati pengumuman dibuat secara berkala setiap 30 minit agar pengunjung menjaga SOP serta memberi saranan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan warga emas tidak digalakkan memasuki tapak bazar.

Pengumuman juga memberi saranan kepada pengunjung untuk mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja untuk membeli juadah.

Turut kelihatan di tapak bazar ialah anggota Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba hari ini memaklumkan pihaknya menerima aduan mengenai kegagalan pematuhan SOP di beberapa lokasi bazar Ramadan di seluruh negara.

Menurut Dr Adham, kerajaan memandang serius perkara tersebut dan tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan ditutup sekiranya terdapat kluster baharu dipercayai daripada aktiviti bazar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali ketika ditemui di bazar berkenaan berkata beliau telah mengemukakan cadangan penambahbaikan SOP kepada pihak PPj.

Antara syor itu ialah mengehadkan pembeli antara lima dan 10 orang di gerai yang laris, dan menggunakan sistem penggiliran atau sistem nombor bagi pembeli untuk mengelakkan kesesakan pada satu-satu masa.

“Tentang keluar masuk (ke bazar), syor dibuat untuk membuat sistem penggiliran juga namun kita memahami jangka masa singkat untuk membeli juadah selain sistem trafik sesak dan kawasan parkir yang kurang di kawasan ini,” katanya.

Pengarah Bahagian Komersial, Pembangunan Perniagaan dan Pelesenan, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj Noor Sita Abbas berkata pihaknya mengambil maklum mengenai saranan yang dikemukakan dan akan menambah bilangan penguat kuasa PPj mulai esok.

Beliau berkata kemasukan pengunjung akan dihadkan kepada 800 orang pada satu-satu masa.

Menurut Noor Sita, terdapat 160 gerai di tapak bazar itu dan bilangan pengunjung boleh mencecah 20,000 orang setiap hari kecuali hari hujan.

-BERNAMA


Pengarang :