Antara gerai di Bazar Ramadan Bandar Kinrara yang mendaftar saluran e-dagang Platform Selangor (PLATS) pada 19 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hampir 800 peniaga sertai saluran e-dagang

SUBANG JAYA, 19 APRIL: Seramai 780 usahawan mendaftar perniagaan mereka di saluran e-dagang, Platform Selangor (PLATS) sejak ia diperkenal awal bulan ini.

Pengurus Operasi Rakan Digital Selangor Najwa Ashiqen Abdul Rahman berkata mereka terdiri daripada peniaga berasaskan makanan termasuk 200 peniaga bazar Ramadan.

Pengurus Operasi Rakan Digital Selangor Najwa Ashiqen Abdul Rahman ketika ditemui di Bazar Ramadan Bandar Kinrara pada 19 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI

“Jumlah ini merangkumi perniagaan di enam pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan sambutan amat menggalakkan apabila 400 telah mendaftar pada minggu kedua ia diperkenal,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi pendedahan mengenai PLATS kepada peniaga Bazar Ramadan Bandar Kinrara di sini hari ini.

Najwa Ashiqen berkata pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 50 peratus peniaga dari 80 gerai di bazar itu mendaftar saluran e-dagang berkenaan.

Tambahnya, setakat ini seramai 100 sukarelawan Rakan Digital Selangor yang terdiri dalam kalangan belia turun padang bagi memberi pendedahan kepada peniaga.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 1,000 sukarelawan bagi membantu memberi kesedaran berhubung agenda pendigitalan negeri ini.

Saluran e-dagang tersebut dimulakan tahun lalu dengan pelancaran PLATS e-bazar iaitu bazar Ramadan digital pertama di negara ini berikutan ketiadaannya akibat penularan Covid-19.

Program itu ditambah baik menerusi PLATS 2.0 pada 11 April lalu dan Kerajaan Negeri menyasarkan lebih ramai peniaga menyertai program e-Dapur seiring perkembangan era pendigitalan serta berjalan sepanjang masa.

 


Pengarang :