AGENDAEKONOMINASIONAL

Harga permintaan pasaran hartanah susut pada suku pertama 2021

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: PropertyGuru Malaysia melaporkan trend keseluruhan harga permintaan mencatatkan penurunan sebanyak 0.84 peratus suku ke suku dan 1.79 peratus tahun ke tahun kepada 87.86 mata indeks dalam suku pertama 2021, berikutan kebimbangan pembeli.

Memandangkan situasi ekonomi pandemik yang tidak menentu ini, ia percaya bahawa sentimen berhati-hati terus menguasai pasaran dan pasaran hartanah dijangka berdepan trend harga turun naik dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Bagaimanapun, peningkatan kadar pemvaksinan di seluruh masyarakat Malaysia diharapkan dapat menambahkan kestabilan dan meningkatkan sentimen pengguna selari dengan perkembangan semasa,” kata Pengurus Negaranya Sheldon Fernandez dalam satu kenyataan susulan pengeluaran laporan terkini Indeks Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia (MPMI).

Laman web hartanah itu juga melaporkan perubahan harga permintaan dicatatkan di Kuala Lumpur (0.66 peratus), Pulau Pinang (1.36 peratus) dan Johor (0.29 peratus), menunjukkan peluang pelaburan yang kukuh.

Pada Suku Pertama 2021, harga permintaan di Kuala Lumpur turun sebanyak lima peratus, penurunan tertinggi dicatatkan sejak PropertyGuru melancarkan indeks pasarannya pada 2016.

“Penurunan trend lebih dua tahun ini dipercepatkan oleh pandemik serta boleh dilihat sebagai trend pengubahan harga yang telah bermula seiring dengan tempoh ekonomi yang mencabar dan penawaran harga melampau hartanah,” katanya.

Meskipun keseluruhan harga permintaan suku ke suku dan tahun ke tahun di Malaysia menurun, MPMI mendapati keseluruhan senarai bekalan yang dikesan di PropertyGuru menyaksikan pertumbuhan suku ke suku sebanyak 2.71 peratus, dan 15.85 peratus tahun ke tahun pada 2021, menunjukkan trend peningkatan.

Semasa suku tersebut, Pulau Pinang merekodkan kenaikan tertinggi dalam jumlah bekalan tahunan, meningkat sebanyak 34.17 peratus tahun ke tahun dan 1.19 peratus suku ke suku, pertumbuhan positif bagi suku ketiga berturut-turut.

“Pemulihan jumlah bekalan yang kukuh di pasaran utama di Malaysia mungkin disebabkan keputusan kerajaan untuk membenarkan industri pembinaan dan pembangunan hartanah, seiring dengan sektor penting lain untuk terus beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan semasa.

“Ini menunjukkan bahawa para pemaju yakin pemulihan akan berlaku,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :