AGENDAJENAYAH

Insiden cermin lapan kereta pecah disyaki perbuatan khianat – polis

KUALA LUMPUR, 1 APRIL: Cermin depan dan belakang lapan buah kenderaan yang didapati dipecahkan di kawasan tempat letak kenderaan Kota Damansara Driving Range, Petaling Jaya, dekat sini, semalam disyaki akibat perbuatan khianat.

Antara kenderaan terlibat seperti yang ditularkan di media sosial adalah kereta jenis Perodua Myvi, BMW dan Honda Civic.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, beberapa pemilik kenderaan terlibat telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu di Balai Polis Kota Damansara, hari ini.

Bagaimanapun Ku Mashariman berkata, barang milik peribadi pemilik kenderaan berkenaan tidak hilang meskipun cermin kereta mereka dipecahkan.

“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati, kawasan terlibat tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup dan kawasan parkir kereta itu tidak mempunyai pengawal keselamatan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ku Mashariman berkata setakat ini, tiada butiran suspek yang diperoleh kerana tiada saksi yang melihat kejadian itu, namun usaha mengesan suspek terlibat sedang dibuat.

“Kami percaya kesemua kereta berkenaan dipecahkan menggunakan objek keras dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, kerana melakukan khianat dan kerosakan.

Semalam, tular sebuah video menerusi akaun Facebook Wan Mahusin Wan Zain, yang memaparkan cermin beberapa buah kenderaan dipecahkan individu tidak bertanggungjawab, di sebuah tempat letak kenderaan di Petaling Jaya.

– BERNAMA


Pengarang :