Mohd Zawawi Ahmad Mughni memberi penjelasan beberapa isu dalam program bual bicara bersama Media Selangor di Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jais cadang tubuh Kelab Zakat di sekolah agama, pupuk kesedaran pelajar

SHAH ALAM, 13 APRIL: Semua sekolah di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) akan menubuhkan Kelab Zakat untuk memupuk kesedaran pelajar, kata EXCO agama.

Zawawi Ahmad Mughni berkata aktiviti kokurikulum itu bertujuan melahirkan generasi memiliki kekukuhan tauhid untuk membantu asnaf fakir, miskin dan mualaf.

“Saya ada bincangkan cadangan ini dengan pihak berkaitan, kita kena jadikan amalan zakat sebagai gaya hidup dan usaha ini perlu bermula di sekolah.

“Kita yakin mampu melahirkan masyarakat yang suka bayar zakat pada masa depan,” ucapnya pada forum ‘Membangun Khayra Ummah: Reformasi Islahiy dan Agenda Pemberdayaan Umat’ semalam.

Program anjuran Pejabat Menteri Besar Selangor, Jabatan Hal Ehwal Negeri Islam dan Institut Darul Ehsan (IDE) diadakan di Dewan Besar Pusat Dakwah Islamiah, Paroi Negeri Islam serta disiarkan menerusi platform media sosial.

Pada 23 November tahun lepas, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mendedahkan seramai 300,000 individu layak membayar zakat tetapi gagal menunaikan tanggungjawab.

Antara kempen kesedaran dilaksanakan adalah MY2.5 iaitu membayar zakat sebanyak 2.5 peratus daripada pendapatan.

LZS turut melaksanakan kempen zakat digital menerusi EZakatPay, perbankan internet, portal MyEG, Pos Online, e-dompet GoPayz serta Boost.


Pengarang :