Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas merasmikan perpustakaan mini di AU2 Hulu Kelang, Ampang pada 11 April 2021. Foto REMY ARIFIN /SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jangan abai SOP, hargai kebenaran operasi bazar Ramadan, raya

HULU KELANG, 11 APRIL: Kebenaran operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri perlu dihargai sebaiknya tanpa mengabaikan aspek pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peniaga dan pelanggan tidak seharusnya alpa di sebalik kelonggaran diberi berikutan kes Covid-19 dalam negara masih mencatat empat angka.

“Hasil pemerhatian, orang ramai sudah mula lupa terhadap SOP sedangkan kes masih tinggi. Sebenarnya kes direkodkan ketika ini jauh lebih tinggi berbanding PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) fasa pertama.

“Apa yang penting sekarang adalah (pematuhan) SOP memandangkan ia faktor utama kepada jangkitan atau tidak berjangkit wabak tersebut. Memang kita sudah ada vaksin namun untuk mencapai imuniti berkelompok, ia mengambil masa enam hingga tujuh bulan atau mungkin sehingga tahun depan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan perpustakaan mini Kelab Kebun Rumah Pangsa AU2 di sini hari ini.

Amirudin mengingatkan peniaga bazar berkenaan supaya tidak mengambil kesempatan terhadap pelanggan dengan mengenakan harga melampau meskipun perlu bersaing dalam meraih pendapatan dan keuntungan.

“Kita faham sekarang persaingan sangat sengit dan ramai yang agak terdesak untuk mencari kehidupan, jadi kita harap mereka (peniaga) boleh bagi harga sesuai serta berpatutan tetapi bukan bermakna mereka kena rugi,” katanya.

Sebelum ini, Amirudin memaklumkan pihak berkuasa tempatan seluruh negeri diarah memantau pematuhan SOP di bazar terbabit bagi mengelak wujud ‘kluster bazar’.

Mac lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kebenaran operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri seluruh negara tahun ini.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan dan mendapat pandangan Kementerian Kesihatan.


Pengarang :