Sebahagian penduduk yang mengambil bahagian dalam program ceramah dan pendaftaran vaksin Covid-19 sempena Jelajah Temu Rakyat DUN Sentosa di pusat khidmat pada 4 April 2021. Foto Facebook ADUN Sentosa YB Gunaraj
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah Temu Rakyat bantu penduduk Sentosa daftar vaksin

KLANG, 18 APRIL: Lebih 200 penduduk sekitar Sentosa mendaftar suntikan vaksin melalui tiga program Jelajah Temu Rakyat yang dianjurkan pusat khidmat DUN berkenaan.

Wakil rakyatnya Dr Gunarajah R George berkata siri jelajah yang diadakan sejak tiga minggu lalu membantu individu yang tidak mempunyai telefon pintar untuk mendaftar.

“Kebanyakan mereka dalam kalangan warga emas. Kita juga bekerjasama dengan persatuan penduduk untuk membuat hebahan kepentingan vaksin,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau penganjuran kelas percuma Sinar Ilmu Harapan Sentosa di sini untuk membantu murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran.

Gunarajah menambah pihaknya giat memberi kesedaran dan penerangan pengambilan vaksin Covid-19 berikutan ada penduduk yang takut berbuat demikian.

“Vaksin ini mustahak lebih-lebih lagi ada gelombang baharu, jadi kita perlu berjaga-jaga selepas mengharunginya lebih 14 bulan. Vaksin juga keperluan untuk memulihkan keadaan,” katanya.

Pada 4 April, Kerajaan Selangor melancarkan program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel)
secara besar-besaran bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran mendaftar vaksin.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu dibuat berikutan 37 peratus isi rumah di negeri ini tiada capaian kepada telefon pintar berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan pusat khidmat DUN dan Parlimen, ahli majlis serta ketua kampung akan bergerak aktif membantu proses pendaftaran.

 


Pengarang :