AGENSISELANGOR

JKNS kongsi syarat sedia khidmat mesin air layan diri

SHAH ALAM, 14 APRIL: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkongsi keperluan khas untuk peniaga yang menyediakan khidmat mesin air layan diri di mana-mana premis.

Jabatan menerusi Facebook memaklumkan syarat tersebut diperuntuk di bawah Peraturan 53 dan 55, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

“Mesin jual air hendaklah dilabelkan dengan nama dan alamat berdaftar serta diletakkan di kawasan yang sesuai dan jauh dari pencemaran.

“Reka bentuknya memudahkan pembersihan dan penyelenggaraan serta diperbuat daripada bahan tahan kakisan dan tidak telap air,” katanya.

JKNS menambah mesin itu juga mesti mempunyai sistem yang efektif untuk mengendalikan limpahan air atau kebocoran aliran balik.

“Ia juga mempunyai fungsi henti operasi automatik apabila proses penyahjangkitan tidak berfungsi,” katanya.


Pengarang :