Rodziah Ismail (kanan) melawat salah sebuah gerai selepas merasmikan tapak jualan raya KUBIGS di pusat membeli-belah Subang Parade, Subang Jaya pada 18 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

JMB bantu penduduk daftar suntikan vaksin Covid-19

SUBANG JAYA, 18 APRIL: Badan pengurusan bersama (JMB) dan komuniti rukun tetangga (KRT) digerakkan bagi membantu orang ramai terutama warga emas mendaftar suntikan vaksin.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata usaha itu bagi memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua berjalan mengikut jadual.

“Kita sudah banyak bergerak malah turut laksana kaedah mengetuk pintu rumah. Walaupun Selangor catat pendaftaran tertinggi tetapi angka itu masih tidak cukup.

“Kita mahu 99 atau 100 peratus mendaftar kerana suntikan ini penting,” kata Rodziah Ismail selepas merasmikan gerai jualan Koperasi Usahawan Groom Big Selangor Berhad di Subang Parade hari ini.

Beliau menambah meskipun pengambilan vaksin tidak diwajibkan, namun ia membantu mencegah penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

“Saya rasa sudah jelas hukumnya. Ulama berpendapat ia harus, cuma kebimbangan orang ramai ini kita tidak dapat jangka. Saya nasihatkan jika kita mahu jaga diri, inilah yang terbaik,” katanya.

PICK fasa pertama menyasar suntikan terhadap kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan antara hujung Februari hingga April.

Fasa kedua menggunakan Pfizer-BioNTech dan Sinovac dijadual bermula bulan ini hingga Ogos membabitkan kira-kira 9.4 juta warga emas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga pada Mei hingga Februari tahun depan pula meliputi 13.7 juta penduduk berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing.


Pengarang :