EXCO pembangunan usahawan, Rodziah Ismail merasmikan Selangor Fashion Lazada Raya 2021 di SACC Mall. Foto Facebook Rodziah Ismail
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jualan Aidilfitri Selangor beri peluang 200 usahawan pasar produk

SHAH ALAM, 11 APRIL: Kerajaan Negeri menganjurkan program Selangor Fesyen Raya Lazada 2021 bermula 13 hingga 27 April, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata insiatif itu memberi peluang kepada lebih 200 usahawan memasarkan produk secara fizikal dan dalam talian menerusi platform Bazar Lokal.

“Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lazada juga menyediakan studio di SACC Mall untuk mempromosi produk usahawan secara langsung menerusi platform media sosial.

“Bagi merancakkan lagi aktiviti jual dan beli, seramai 10,000 pembeli terawal bakal memperoleh baucar RM200,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan  Selangor Fesyen Raya Lazada 2021 di SACC Mall hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata usahawan di negeri ini terus dibimbing bagi menyesuaikan diri dengan ekosistem pendigitalan.

“Perubahan ke arah pendigitalan membolehkan pemasaran produk lebih meluas, bukannya hanya tertumpu pasaran setempat,” katanya.

Pada Ramadan tahun lepas Kerajaan Negeri menyediakan dua saluran e-dagang iaitu Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats), ruang untuk peniaga menjual juadah berbuka puasa.

Beberapa lokasi e-Dapur turut diwujudkan di Ampang, Bangi, Semenyih, Sepang, Damansara, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Seri Kembangan dan Subang Jaya.

Selain itu, Kerajaan Selangor melancarkan e-Bazar Raya khusus untuk 5,000 usahawan tempatan menjana semula ekonomi susulan penularan Covid-19.


Pengarang :