Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan pejabat pengurusan Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) ketika program K2K (Kita Untuk Kita) Selangor di PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada 17 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

K2K tingkat kualiti, taraf hidup penghuni PPR

SHAH ALAM, 17 APRIL: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Think City Sdn Bhd (Think City) menyediakan platform komuniti perumahan awam dikenali K2K (Kita Untuk Kita) Selangor bagi meningkatkan kualiti dan taraf hidup penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Dato’ Menteri Besar berkata menerusi projek perintis dilakukan di PPR Kampung Baru Hicom di sini, ia mengambil pendekatan menyeluruh, bekerjasama dengan komuniti untuk mencari jalan penyelesaian memenuhi aspek sosial, ekonomi dan fizikal.

“Think City telah mengubah paradigma dan menjadikan pandemik yang lepas sebagai satu peluang untuk mengukur, membuat kajian dan mengenal pasti keperluan yang sesuai dengan apa diharapkan Kerajaan Negeri.

“Iaitu kita beri apa yang mereka perlukan seperti pengurusan dan pemprosesan data serta analisa data raya yang mampu memberi jawapan polisi kerajaan lebih tepat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di PPR Kampung Baru Hicom sempena Hari K2K Selangor.

Sementara itu, Think City menerusi kenyataan memaklumkan K2K adalah usaha menghubungkan program kerajaan, sumbangan korporat, komuniti perumahan awam dan sistem pengurusannya melalui platform digital menyediakan langkah penyampaian dan impak yang cekap, berkesan dan telus.

“Ini termasuk menghubungkan masyarakat dengan makanan dan barang lebih murah, menyediakan akses mudah untuk kemahiran dan latihan.

“Sistem ini disokong mobilisasi komuniti dan pengukuran impak melalui analisis data dari platform digital serta sumber lain,” kata Pengarah Urusannya, Hamdan Abdul Majeed.


Pengarang :