AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Mais tetapkan kadar fidyah ikut kategori beras

SHAH ALAM, 23 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menetapkan bayaran fidyah puasa Ramadan mengikut jenis beras dimakan pada tiga kadar berbeza.

Setiausahanya berkata kadar tersebut adalah RM2 sehari bagi beras Super Special Tempatan 5 peratus dan RM4 sehari (beras putih import, beras perang, beras pulut, herba ponni atau beras wangi).

Manakala RM6 sehari pula, kata Dr Ahmad Shahir Makhtar, untuk beras basmathi, beras Jepun atau beras merah.

“Individu berkemampuan digalakkan menunaikan bayaran tersebut mengikut jenis beras dimakan selaras dengan kadar zakat fitrah dilaksanakan di Selangor merujuk kepada keputusan Mesyuarat Fatwa Negeri Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mesyuarat jawatankuasa berkaitan pada 3 November tahun lalu memutuskan kadar bayaran fidyah bagi sehari puasa ditinggalkan ialah 1/4 daripada zakat fitrah yang dibayar.

Sebagai contoh, jika seseorang meninggalkan puasa tujuh hari pada tahun lalu (belum melangkau tahun), kadar bayaran adalah 7 hari x 1 tahun x RM2 = RM14 (untuk beras Super Special Tempatan 5 peratus).

Manakala bagi jumlah hari sama yang tidak diganti tiga tahun iaitu 2018-2020 (hingga melangkau Ramadan tahun ini), kadarnya 7 hari x 3 tahun x RM2 = RM42.

“Bagi yang berkemampuan, adalah digalak membuat bayaran secara berganda jika melangkau bulan puasa berikutnya,” katanya.

Fidyah merupakan bayaran denda kepada seseorang tidak dapat mengganti puasa Ramadan pada sesuatu tahun sehingga tiba Ramadan berikutnya.

Umat Islam yang ingin berbuat demikian boleh melayari laman sesawang MAIS iaitu www.mais.gov.my atau boleh dibuat terus menerusi http://fpx.mais.gov.my/epay/fidyah.php.


Pengarang :