Selangorkini
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Kadar pengangguran naik kepada 4.5 peratus pada 2020

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Kedudukan tenaga buruh Malaysia yang terjejas pada 2020 berikutan krisis kesihatan dan kesan ekonomi, menyebabkan kadar pengangguran mencecah 4.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2019, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pasaran buruh global berada dalam situasi tidak menentu sepanjang 2020 yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pengurangan jam bekerja serta sumber pendapatan berikutan pandemik Covid-19 dan langkah mengekang penularan pandemik ini yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara.

“Semasa krisis kesihatan, kadar pengangguran bulanan adalah dalam lingkungan 3.9 peratus hingga 5.3 peratus — penambahan melebihi 200,000 penganggur.

“Pembukaan semula lebih banyak aktiviti perniagaan dengan pematuhan kepada tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sehingga akhir tahun ini dilihat telah dapat mengimbangi kepentingan kesihatan dengan pemulihan ekonomi dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan berdasarkan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, 2020.

Mengulas mengenai situasi tenaga buruh pada tahun lepas, Mohd Uzir berkata tenaga buruh yang merangkumi penduduk bekerja dan penganggur, meningkat 0.6 peratus kepada 15.7 juta orang daripada 15.6 juta orang pada 2019.

Sementara itu, beliau berkata kadar pengangguran tahunan meningkat 1.2 mata peratus kepada 4.5 peratus pada 2020, kadar tertinggi sejak 1993.

Bilangan penganggur bertambah 39.9 peratus kepada 711,000 orang daripada 508.2 ribu orang pada 2019.

Daripada jumlah ini, 72.3 peratus adalah penganggur aktif yang meningkat 40.4 peratus kepada 514,200 orang daripada 366,200 orang pada 2019.

Beliau berkata bilangan mereka yang bekerja berkurang 0.8 peratus kepada 15 juta orang berbanding 15.1 juta orang pada 2019.

Melihat kepada guna tenaga mengikut sektor ekonomi, beliau berkata majoriti penduduk bekerja tertumpu dalam sektor perkhidmatan dengan peratus sumbangan sebanyak 64.5 peratus diikuti pembuatan (16.7 peratus) dan pertanian (10.5 peratus).

Sementara itu, penduduk bekerja dalam sektor pembinaan dan perlombongan dan pengkuarian masing-masing meliputi 7.8 peratus dan 0.5 peratus.

Mohd Uzir berkata pasaran buruh Malaysia diramalkan akan meningkat secara marginal namun masih berdepan dengan cabaran ketidaktentuan situasi krisis kesihatan.

“Ketika pelbagai fasa PKP 2.0 juga dilaksanakan secara berterusan bagi mengekang penularan pandemik ini, beberapa kelonggaran bagi aktiviti ekonomi untuk beroperasi juga dibenarkan dengan pematuhan SOP yang ketat.

“Dengan fasa pemulihan ekonomi yang berterusan disokong pelbagai program inisiatif oleh kerajaan bagi membantu kelangsungan perniagaan serta pelancaran program pemvaksinan pada 2021, ia diharapkan dapat membantu melegakan serta mengurangkan beban perniagaan.

“Ini sekali gus boleh membantu mempercepatkan pemulihan pasaran buruh,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :