AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kadar zakat fitrah Selangor kekal RM7

SHAH ALAM, 8 APRIL: Kadar zakat fitrah di negeri kekal RM7 seorang seperti tahun sebelumnya.

Ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata kadar itu selaras kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sejak 2018.

“Penetapan kadar zakat fitrah sebanyak RM7 berdasarkan harga bagi 2.6 kilogram beras Super Tempatan Gred A yang lazimnya digunakan oleh masyarakat.

“Bagaimanapun, kita menggalakkan golongan berkemampuan untuk menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan,” kata Saipolyazan M Yusop.

Beliau menambah kadar zakat fitrah bagi individu yang memakan beras putih import, beras perang, beras pulut, herba ponni dan beras wangi pula sebanyak RM14.

Sementara individu memakan beras basmathi, beras jepun dan beras merah dikenakan kadar RM21.

“Kutipan zakat fitrah tahun lalu meningkat kepada RM31.1 juta berbanding RM26 juta pada 2019 di sebalik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya lagi.

Sebelum itu, Saipolyazan mengagihkan wang zakat Worldwide Holdings Berhad di Seksyen 13 di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutifnya Datin Paduka Norazlina Zakaria.

Hadir sama Pengerusi Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd Dato’ Ibrahim Md Yusof.


Pengarang :