Selangorkini
Antara bungkusan daging yang dijual di sebuah pasar raya ketika tinjauan di Kuala Lumpur pada 22 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Kartel daging: Polis bongkar komplot 19 syarikat pengedar

JOHOR BAHRU, 11 APRIL: Sebanyak 19 buah syarikat pengedar sejuk beku dikenal pasti ‘berkomplot’ dan terlibat dalam kegiatan kartel daging import, dalam satu operasi yang dilaksanakan di enam negeri secara serentak dua hari lepas (9 April).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata, syarikat yang terlibat membabitkan tujuh di Johor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (empat), Selangor (empat), Perak (satu), Pulau Pinang (dua) dan Kedah (satu).

Beliau berkata, 19 syarikat itu didapati ‘berkomplot’ dengan sebuah syarikat, yang merupakan pengimport daging sejuk beku yang sah dari Brazil.

“Mengikut permit pengimport, syarikat ini hanya layak untuk mengimport sebanyak 27 tan daging bagi satu permit yang dikeluarkan. Hasil siasatan mendapati syarikat berkenaan hanya menggunakan empat daripada lima permit pengimport yang dikeluarkan, bagi tahun 2020.

“Walau bagaimanapun, syarikat itu (syarikat pengimport) didapati telah mengedarkan lebih daripada 1,000 tan kepada 202 pelanggan, yang dibuktikan melalui invois yang dirampas. Siasatan juga mendapati keuntungan tahunan 19 syarikat ini adalah antara RM1 juta hingga RM52 juta,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Dalam Op Kartel Daging yang dijalankan, Jabatan Siasatan Jenayah turut menahan 36 individu terdiri daripada 26 lelaki dan 10 perempuan, berusia antara 28 hingga 67 tahun. Daripada jumlah itu, 34 daripadanya adalah pengarah syarikat dan dua lagi adalah pengurus syarikat.

Selain mengimport dari syarikat di negara Brazil, syarikat pengimport itu juga menerima bekalan daripada syarikat tempatan, dan bekalan yang diterima akan dibungkus semula sebelum diedarkan kepada pelanggan.

Katanya, syarikat terbabit juga didapati telah menempah kotak berlogo halal, untuk membungkus semula daging yang diimport dari negara Brazil, dan yang diterima dari syarikat tempatan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Kita dapati syarikat ini banyak menerima tempahan, kerana menawarkan harga yang lebih murah berbanding syarikat pembekal daging halal lain, serta kemudahan pembayaran kredit selama tiga bulan berbanding syarikat lain, yang hanya menerima pembayaran secara ‘Cash on Delivery’ menjadi faktor utama kepada tempahan tinggi diterima syarikat berkenaan.

Katanya, siasatan pihak polis mendapati kegiatan itu telah menyebabkan timbulnya isu keraguan status halal terhadap bekalan daging yang ada di pasaran.

Huzir berkata kegiatan itu bukan sahaja memberi kesan kepada umat Islam, tetapi juga kepada seluruh rakyat Malaysia, di mana daging yang dibungkus semula itu juga tidak dapat disahkan tahap kebersihan dan tidak diperakui oleh pihak veterinar.

Beliau berkata, polis akan meneruskan siasatan berkaitan isu kartel daging itu dan dijangka akan lebih ramai yang akan ditahan selepas ini.

Dalam masa sama beliau berkata, polis masih meneruskan usaha memburu dua lelaki yang dipercayai dalang utama kes berkenaan iaitu, Tan Siew Huak berasal dari Ulu Tiram, dekat sini dan Wong Ah Kheong dari Kuantan, Pahang.

Pada 1 Dis tahun lepas, satu serbuan yang dilakukan beberapa pihak berkuasa ke atas gudang sejuk beku di Senai, dekat sini, telah membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging dari luar sebelum membungkus semula daging tersebut dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia.

– BERNAMA


Pengarang :