Orang ramai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka di tempat awam ketika tinjauan di ibu kota pada 9 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kawalan, pencegahan Covid-19 perlu dipertingkat jika Rt lebih 1.2

PUTRAJAYA, 5 APRIL: Kaedah pencegahan dan pengawalan wabak Covid-19 di negara ini perlu dipertingkatkan sekiranya kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) melebihi 1.2, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau bimbang dengan trend ditunjukkan kebelakangan ini yang merekodkan bilangan kes melebihi 1,000 sehari dengan kadar Rt 1.0, berbanding unjuran Rt pada kadar 0.8, yang bermaksud kes Covid-19 dalam negara dapat dikawal dengan baik.

“Kebimbangan kita adalah Rt akan pergi kepada 1.2, dan kaedah pengawalan selain daripada vaksinasi perlu dipertingkatkan. Saya seru orang ramai patuhi SOP (tatacara operasi piawai) sedia ada,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di sini hari ini bersama Menteri Penyelaras program itu Khairy Jamaluddin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah melaporkan 1,349 kes baharu Covid-19 direkodkan semalam dan kadar Rt di negara ini adalah 1.01.

Ditanya adakah Malaysia akan mengalami gelombang keempat Covid-19, Dr Adham berkata ia bergantung kepada pembukaan sempadan negara.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesan sembilan kes positif Covid-19 di Malaysia adalah jangkitan varian Afrika Selatan B.1.351, namun ia masih terkawal dan semua pesakit terbabit telah diberi rawatan dan dikuarantin.

“Setakat ini, kes import harian di dalam negara terus dipantau dan akan terus dibuat pengasingan seterusnya mengenal pasti kontak rapat mereka,” katanya.

Mengenai kesiapsiagaan hospital bagi membendung Covid-19, Dr Adham berkata KKM mempunyai 63 hospital yang dikhususkan untuk rawatan pesakit Covid-19 iaitu tujuh hospital merupakan ‘hospital full Covid’ manakala 56 yang lain adalah hospital hibrid.

Tujuh hospital itu ialah Hospital Sungai Buloh; Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom di Kluang, Johor; Hospital Tampin; Hospital Kepala Batas; Hospital Hulu Terengganu; Hospital Tumpat dan Hospital Kuala Krai (lama).

Dr Adham berkata katil khusus untuk rawatan Covid-19 adalah sebanyak 6,775, dan kadar penggunaannya kira-kira 37 peratus.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM sedang memperhalusi data daripada Unit kawalan penyakit berjangkit (CDC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berhubung cadangan membenarkan individu yang lengkap proses vaksinasi merentas negeri.

“Setakat ini, kita belum terima ‘concrete evidence’ untuk benarkan orang yang telah menerima dua dos untuk rentas negeri… cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :