Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas pelancaran program K2K (Kita Untuk Kita) Selangor di PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam pada 17 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KEADILAN yakin pertahan Selangor meski wakil rakyat keluar parti

SHAH ALAM, 17 APRIL: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor yakin mampu menarik pengundi dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15 meski ada pemimpin keluar parti.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Dato’ Seri Amirudin Shari berkata situasi dan cabaran sama pernah dilalui parti itu ketika mula mentadbir Selangor pada 2008.

“Dari 2008 hingga 2013, sejumlah ahli parlimen kita keluar parti malah bekas menteri besar yang juga wakil rakyat Perlabuhan Klang (ketika itu) juga menjadi bebas.

“Apa yang penting bagi saya KEADILAN mempunyai polisi dan kita buktikan melalui program. Transformasi, reformasi yang kita buat bukan hanya kata-kata tetapi nampak hasilnya yang seterusnya dijadikan contoh,” katanya.

Beliau mengulas cabaran KEADILAN Selangor untuk menarik pengundi dalam PRU selepas ada beberapa wakil rakyatnya keluar parti.

Amirudin menambah pendekatan KEADILAN memimpin negeri berbeza selaras peredaran zaman selain bergantung situasi semasa dan keperluan rakyat.

“Zaman sebelum ini kita berkongsi apa yang kita ada dan rakyat mahu tetapi sekarang berubah sesuai dengan konsep penerimaan data dan keputusan lebih tepat iaitu kita beri apa yang mereka perlu.

“Jadi saya rasa dari masa ke masa KEADILAN sebagai kerajaan dan parti komponen Pakatan Harapan walau apapun berlaku kita masih mempunyai dua pertiga di Selangor,” katanya.

 


Pengarang :