Sebahagian asnaf yang bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri menerima bantuan Kelab Kebajikan Pembantu Operasi SUK.
AGENSISELANGOR

Kelab Kebajikan Pembantu Operasi SUK sasar lebih 100 asnaf dibantu

SHAH ALAM, 30 APRIL: Lebih 100 asnaf yang bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri dibantu Kelab Kebajikan Pembantu Operasi SUK sepanjang Ramadan ini.

Pengerusi Kelabnya, Mohd Faizal Mohamed Said berkata antara bantuan diberi termasuk barangan makanan asas seperti tepung, susu, gula, minyak masak dan wang tunai.

“Sumbangan ini sedikit sebanyak dapat memberi keceriaan dan meringankan beban mereka dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kita berusaha sedaya upaya membantu golongan ini yang rata-ratanya terkesan ekoran pandemik Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas Program Tazkirah Ramadan dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz.

Mengulas antara pengisian yang dilaksanakan kelab terbabit sepanjang Ramadan, Mohd Faizal berkata pihaknya turut menganjurkan program memasak dan agihan bubur lambuk, tadarus dan khatam al-Quran serta tazkirah.

Sementara itu, seorang penerima, Khatijah Phonamah Abdullah yang juga pekerja pembersihan di SUK bersyukur pemberian itu dan berharap ia diteruskan lagi pada masa akan datang.

Manakala, pekerja pembersihan, Nor Zaidi Zainuddin berkata sumbangan itu meringankan perbelanjaan dapur dan membuat persiapan hari raya.

Pada majlis itu, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, Muhammad Shah Osmin mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri menyampaikan sumbangan secara simbolik kepada 30 penerima.


Pengarang :