Dr Gunarajah R George (tengah) memantau peserta program Sinar Ilmu Harapan Sentosa bagi membantu murid yang menghadapi masalah pembelajaran di Pusat Khidmat DUN Sentosa, Klang pada 18 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Kelas percuma bantu murid hadapi masalah pembelajaran

KLANG, 18 APRIL: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menganjurkan kelas percuma selama tiga bulan untuk membantu murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran.

Wakil rakyatnya berkata program Sinar Ilmu Harapan Sentosa bagi memastikan murid terlibat sekurang-kurangnya mengenali 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Dr Gunarajah R George menjelaskan inisiatif itu menumpukan murid darjah tiga hingga enam yang dianggap berada dalam fasa kritikal berikutan bakal ke sekolah menengah.

“Masih terdapat anak-anak kita yang belum tahu membaca, menulis dan mengira iaitu asas yang perlu ada bagi seorang pelajar.

“Jika mereka tahu tiga kaedah ini, maka tiada masalah buat mereka nanti. Mereka boleh berniaga dan sebagainya,” katanya ditemui di pusat khidmatnya di sini hari ini.

Gunarajah menambah pihaknya bersama Persatuan Dyslexia Selangor menyaring 30 murid untuk menyertai program terbabit bagi memilih peserta yang layak.

Beliau berkata inisiatif yang diuar-uarkan melalui media sosial sejak 8 April turut mendapat sambutan dari mereka yang tinggal di Kuala Lumpur.

“Daripada 100 orang yang datang bukan semua benar-benar menghadapi masalah, justeru hanya 30 orang sahaja dipilih bagi mengikuti kelas secara percuma setiap Sabtu selama tiga bulan,” katanya.


Pengarang :