Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) memasukkan derma sebagai simbolik pelancaran kempen sedekah Tabung Amanah Anak Yatim Negeri Selangor 2021 di Hotel Acapella Suite, Shah Alam pada 1 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kempen Jom Sedekah bantu anak yatim sasar kutipan RM4 juta

SHAH ALAM, 1 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyasar kutipan RM4 juta melalui kempen Jom Sedekah bagi membantu kebajikan anak yatim negeri ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sumbangan sepanjang Ramadan melalui Tabung Amanah Anak Yatim Selangor boleh dibuat secara dalam talian.

“Insya-Allah apabila kes Covid-19 semakin berkurang, mungkin ekonomi bertambah baik dan kita akan terima lebih banyak sumbangan berbanding tahun sebelumnya.

“Semakin banyak derma kita dapat, semakin banyak program dapat dilaksanakan seperti bantuan dan aktiviti hari raya, sumbangan makanan dan persekolahan,” katanya.

Beliau yang ditemui selepas melancarkan kempen terbabit di Hotel Acapella Suite di sini berkata Mais turut memperuntuk RM500,000 setiap tahun bagi kebajikan anak yatim.

Abdul Aziz berkata dana melalui baitulmal dimanfaatkan sempena sambutan hari raya dan pengurusan rumah anak yatim berdaftar bawah Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide).

Sedekah ke Tabung Amanah Anak Yatim Selangor boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan http://fpx.mais.gov.my/epay/say.php.

Setiap sumbangan akan mendapat pengecualian cukai mengikut Subseksyen 44 (6), Akta Cukai Pendapatan 1967.


Pengarang :