Selangorkini
ADN AGENDA NASIONAL SELANGOR

Kerajaan digesa perkenal kaedah subsidi bersasar beli beras

SABAK BERNAM, 27 APRIL: Kerajaan Persekutuan disaran memperkenal kaedah subsidi bersasar bagi mengelak ketirisan membabitkan subsidi beras yang boleh dibeli warga asing.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan berkata kaedah diguna pakai ketika ini tidak menyeluruh kerana hasil sepatutnya dikhususkan kepada rakyat tetapi turut dirasai pihak luar.

“Subsidi ketika ini dinikmati semua pihak dan ia tidak adil kerana wang rakyat dibazirkan begitu sahaja, kita perlu ada sistem berlainan dalam menangani masalah ini.

“Kerajaan Persekutuan boleh merangka sesuatu seperti menggunakan MyKad atau bayaran semula kepada warga tempatan yang membeli beras tetapi sehingga kini belum dilaksanakan,” kata Ng Suee Lim.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan protes aman bersama 50 petani terhadap lanjutan konsensasi Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Sekinchan di sini hari ini.

Menurutnya, kegagalan memperkenal kaedah tersebut menyebabkan timbulnya alasan harga padi tidak boleh dinaikkan kerana dikhuatiri harga beras akan menjadi mahal.

“Namun, hakikatnya harga beras dijual memberi keuntungan kepada warga asing dan petani tempatan tidak memperoleh sebarang manfaat menguntungkan,” katanya.


Pengarang :