Datuk Seri Anwar Ibrahim. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kerajaan lemah, negara luar mungkin peralat untuk keuntungan

SHAH ALAM, 4 APRIL: Kelemahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mendorong negara seteru mengambil kesempatan meraih keuntungan dalam keterlibatan dengan Malaysia.

Ketua pembangkang menegaskan hal itu mampu memberi kesan mendalam pada kedudukan Malaysia, ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komen “abang besar” oleh menteri luar juga meninggalkan dampak pada negara antara hubungan Malaysia dan China.

“Kerajaan PN tampaknya telah tersalah langkah dalam banyak hal penting negara dan kadarnya terus memuncak naik.

“Tanpa pengimbangan dari institusi Parlimen dan sikap kebertanggungjawaban pada badan eksekutif, keadaan nampaknya akan terus parah dan terbaru membawa marabahaya pada kedaulatan negara,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata pemerintah hari ini secara tidak langsung memberi mesej jelas pada dunia luar bahawa Malaysia bukan lagi negara yang berkecuali.

“Percubaan menteri luar untuk menutup kekeliruan yang timbul menampakkan kabinet PN ini mempunyai pemahaman yang lemah terkait diplomasi, strategi, politik Asean dan China,” kata Anwar.

Beliau turut menggesa perdana menteri yang hilang majoriti segera berundur dan kembali pada proses perlembagaan serta tidak menyalahguna pengisytiharan darurat untuk terus berkuasa.

“Melihatkan keadaan PN yang terumbang ambing hari ini, kita bimbang segala keputusan yang dibuat hanya untuk terus menjamin kelangsungan kuasa dan ia berpotensi mengorbankan kepentingan, keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.


Pengarang :