Mohd Zawawi Ahmad Mughni memberi penjelasan beberapa isu dalam program bual bicara bersama Media Selangor di Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerajaan Negeri pandang serius iklan promosi judi, gesa tindakan tegas

SHAH ALAM, 17 APRIL: Kerajaan Negeri memandang serius isu video iklan mempromosi judi dalam talian yang tular di media sosial sejak semalam.

EXCO Agama Zawawi Ahmad Mughni berkata pihaknya menggesa tindakan tegas diambil bagi menghapus dan mencegah promosi aktiviti itu di media sosial.

“Kerajaan bimbang dengan penyiaran iklan seperti itu akan memberi gambaran normalisasi judi dalam talian kepada rakyat yang tidak memahami bahawa ia salah satu bentuk perjudian.

“Klip video bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri itu juga boleh dilihat sebagai satu perbuatan yang menghina umat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga menasihati penduduk negeri ini tidak terlibat dengan aktiviti seumpamannya dalam apa medium sekali pun.

“Ada banyak cara dan saluran untuk mendapatkan sumber rezeki yang halal berbanding keterlibatan dalam perjudian yang akibatnya adalah mudarat yang nyata,” katanya.

Semalam tersebar video mempromosi judi dalam talian bertemakan perayaan Aidilfitri yang membawa kepada penahanan lima lelaki dan tiga wanita.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kesemua individu yang ditahan itu dipercayai terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo, jurukamera, produser dan pengarah dalam penggambaran video berkenaan.


Pengarang :