Dato’ Seri Amirudin Shari (hadapan, tengah) bersama wakil agensi dalam Majlis Memeterai Kerjasama Program Pendidikan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Yayasan Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 28 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri sedia teruskan Selangor Tutor

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kerajaan Negeri bersedia meneruskan Selangor Tutor jika berlaku penutupan sekolah ekoran peningkatan kes Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata program pembelajaran dalam talian itu mendapat sambutan menggalakkan apabila disertai lebih 100,000 pelajar ketika diperkenal April tahun lalu.

“Penyertaan Selangor Tutor sangat baik dan mungkin dapat mengatasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Kita sudah mulakan beberapa fasa boleh dikembangkan selain dilema yang memang ada dalam sistem pendidikan nasional ketika ini, jadi kita dapat tambah nilai program ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediama Dato’ Menteri Besar semalam.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri berhasrat menambah baik program percuma itu dengan menggabungkan pendidikan dalam talian dan secara bersemuka pada masa depan.

Inisiatif tersebut adalah hasil kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) dan Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras program merupakan antara intipati Pakej Rangsangan Selangor Prihatin.

Laman sesawang program menyediakan lebih 130,000 soalan latih tubi mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pada Isnin, KPM mengumumkan sesi pembelajaran selepas cuti Aidilfitri akan diteruskan dengan PdPR selama dua minggu bagi menggantikan sesi bersemuka di sekolah.

Menterinya berkata sesi pembelajaran itu bermula 16 hingga 27 Mei bagi sekolah kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 17 hingga 28 Mei untuk sekolah kumpulan B (di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya).

Datuk Dr Radzi Jidin berkata keputusan itu dibuat bagi mengelak risiko jangkitan Covid-19 selepas cuti sekolah bagi meraikan Aidilfitri yang dijadualkan pada 7 hingga 15 Mei bagi sekolah kumpulan A dan 8 sehingga 16 Mei (kumpulan B).


Pengarang :