Selangorkini
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin menyampaikan sumbangan kepada wakil 22 masjid daerah Kuala Selangor ketika Majlis Penyerahan Sumbangan Ihya Ramadan di Masjid Bandar Utama, Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Kerajaan Negeri selesai agih bantuan kepada masjid di tujuh daerah

HULU SELANGOR, 30 APRIL: Kerajaan Negeri selesai mengagih bantuan kewangan kepada semua masjid di tujuh daerah setakat ini.

Dato’ Menteri Besar berkata sejumlah RM2 juta diperuntuk untuk menampung kekurangan dana masjid di seluruh Selangor sejak perebakan Covid-19.

“Kita ada lebih 400 masjid dan hampir keseluruhan sudah menerima bantuan yang diagih menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri sejak awal Ramadan.

“Baki masjid yang belum terima bantuan adalah Petaling dan Sabak Bernam, Insya-Allah kita segerakan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid Daerah Hulu Selangor di Masjid Bandar Utama Batang Kali hari ini.

Pada majlis itu setiap 22 masjid menerima sumbangan berjumlah RM5,000 yang disalurkan menerusi Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan).

Dato’ Menteri Besar kemudian menyampaikan watikah pelantikan kepada seramai 33 ketua kampung daerah Hulu Selangor di Dewan Komuniti Serendah.

Terdahulu, Amirudin turut menyampaikan bantuan sejumlah RM100,000 kepada 20 masjid daerah Gombak serta menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Sungai Serai, Kuang.

Sumbangan kepada masjid daerah Gombak disalur menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri, Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB).


Pengarang :