Tinjauan lokasi kejadian komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Klang Expressway (SUKE) berhampiran Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Cheras pada 24 Mac 2021. Foto: BERNAMA
AGENSISELANGOR

Kerja alih kren gantri di lokasi insiden SUKE selesai

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Pengalihan kren gantri dan rasuk konkrit yang terlibat dalam insiden kemalangan di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), pada 22 Mac lepas selesai semalam setelah dua minggu ia dilaksanakan.

Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan hari ini berkata selepas selesai semua kerja pengalihan tersebut, jurutera perunding seliaan dan agensi berkaitan telah meneliti secara keseluruhan kondisi struktur yang terlibat bagi mengesahkan ia selamat dan kesemua proses penilaian tersebut dilaksanakan secara terperinci dan telus.

Sehubungan itu sebahagian laluan di Persiaran Alam Damai, Cheras yang sebelum ini ditutup dibuka semula kepada penduduk Kondominium Puncak Banyan dan orang awam, sebaik mendapat pengesahan selamat dan kelulusan dari pihak jurutera perunding dan pihak berkuasa.

Kenyataan itu juga memaklumkan dengan pembukaan semula Persiaran Alam Damai (lokasi kejadian) ia akan membantu penduduk terutamanya di Kondominium Puncak Banyan untuk menjalani kehidupan seperti biasa.

“Kerja-kerja pengalihan dilaksanakan Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd melalui kontraktor terlibat iaitu Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd.

Pihak berkuasa seperti Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan turut memantau pelaksanaan kerja-kerja itu bagi memastikan ia dilakukan dengan teliti dan mengikut tatacara operasi piawai digariskan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian pada 22 Mac itu, tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu cedera parah susulan satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan terbabit.

– BERNAMA


Pengarang :