Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika sidang media selepas Majlis Memeterai Kerjasama Program Pendidikan Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Yayasan Selangor di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 28 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Kerjasama pelbagai pihak dalam pendidikan majukan modal insan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama agensi awam, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memajukan modal insan melalui pendidikan di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar berkata sinergi pihak berkaitan menerusi perkongsian idea pintar mampu memaksimumkan kualiti pendidikan di negeri ini.

“Agenda memberdaya insan adalah suatu usaha berterusan dan ia tidak akan berjaya sekiranya tiada kerjasama pelbagai pihak.

“Kita menyedari betapa pentingnya membangunkan aspek pendidikan terutama dalam menuju wawasan Selangor negeri pintar 2025,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor Eddie Ahmad Khodzali dan Pengarah Kanan Pendidikan Yayasan Selangor Zahura Zakry.

Sementara itu, Amirudin berkata cadangan beberapa program baharu pendidikan dengan kerjasama agensi berkaitan diyakini melonjakkan prestasi yayasan terbabit pada masa akan datang.

“Mereka (Yayasan Selangor) berani melakukan anjakan paradigma, berfikir luar kotak dan berkongsi sumber bagi memastikan objektif pembangunan pendidikan negeri dapat dipelbagaikan,” kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Selangor.


Pengarang :