DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (tengah) berkenan menyaksikan sesi menandatangani MoU berkaitan agenda pemerkasaan OKU Selangor antara Nurul Azwa Rodzi (dua kiri) bersama Prof Dr Roziah Janor (dua kanan) di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada 6 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kerjasama SAY-UiTM perkasa belia OKU Selangor

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Selangor Youth Community (SAY) menjalin kerjasama strategik dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi memperkasa belia kelainan upaya (OKU) negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SAY Nurul Azwa Rodzi berkata gabungan julung kali membabitkan pelaksanaan beberapa projek demi manfaat golongan itu pada masa hadapan.

“Kami dapati golongan OKU tidak banyak diiktiraf dan disebabkan itu kalau boleh kita mahu kerjasama erat antara kedua-dua pihak ini berterusan.

“Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah juga dijadual turun padang menjayakan program lain yang sedang dibincangkan,” katanya pada program pusingan akhir Liga Usahawan OKU (SAY LEAD) di sini semalam.

Azwa mewakili SAY menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tersebut bersama Timbalan Canselor UiTM Prof Dr Roziah Janor sambil disaksikan Tengku Amir Shah.

Menurut Azwa, seramai enam mentor dari Fakulti Keusahawanan dan Pemasaran universiti terbabit mengendali kursus bimbingan niaga secara dalam talian terhadap peserta SAY LEAD tahun ini.

“Kami mengakui tahap pemahaman golongan ini (OKU) terhadap kursus bimbingan secara maya mengambil sedikit masa tetapi mentor akan pantau dan nilai prestasi mereka setiap minggu,” katanya lagi.

 


Pengarang :