Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Bestari Jaya, Kuala Selangor pada 21 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Kes Covid-19 di Hulu Selangor, Sabak Bernam catat satu angka

SHAH ALAM, 23 APRIL: Walaupun jangkitan baharu Covid-19 di Selangor tertinggi di negara ini iaitu 748 kes namun Hulu Selangor dan Sabak Bernam hanya mencatat satu angka hari ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) berkata Hulu Selangor merekodkan tiga kes iaitu mukim Serendah (dua) dan mukim Hulu Yam (satu).

“Manakala Sabak Bernam mencatat satu kes melibatkan kes import dari India,” katanya menerusi Facebook.

Tambahnya, Petaling masih kekal tertinggi kes wabak iaitu 352 kes yang mana mukim Petaling merekodkan 128 kes diikuti Damansara (110), Sungai Buloh (73) dan Bukit Raja (41).

“Hulu Langat merupakan daerah kedua tertinggi dengan 150 kes melibatkan 54 kes di mukim Cheras, mukim Kajang (41), mukim Ampang (38), mukim Semenyih (11), mukim Hulu Langat (empat) dan mukim Beranang (dua),” katanya.

JKNS menambah Klang merekodkan 99 kes, Kuala Langat (54), Gombak (41), Sepang (34) dan Kuala Selangor (14).

Menurutnya, terdapat 645 kes sembuh dan tiada kematian dilaporkan hari ini.


Pengarang :