Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada orang ramai ketika Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada 13 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Kes Covid-19 di Selangor kekal lepasi angka 1,000

SHAH ALAM, 29 APRIL: Jangkitan baharu Covid-19 di Selangor terus kekal melepasi angka 1,000 dengan 1,083 kes dilaporkan pada hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu sebahagian daripada 3,323 kes yang dilaporkan di seluruh negara.

“Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu 1,083 kes. Daripada jumlah ini, 741 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat.

“Ia diikuti Sarawak 522 kes, Kelantan (401), Kuala Lumpur (359), Johor (207), Pulau Pinang (158), Sabah (131), Negeri Sembilan (111), Kedah (105), Pahang (92), Perak (91), Melaka (43), Terengganu (19), Putrajaya (9) dan Perlis (1),” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata terdapat 15 kematian dengan tiga kes di Selangor membabitkan wanita berusia 46 tahun, lelaki warga emas berusia 91 tahun dan warga emas wanita berusia 71 tahun.

“Terdapat satu kluster baharu di Selangor iaitu Kluster Bukit Rotan melibatkan daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam, Petaling dan Klang serta daerah Port Dickson di Negeri Sembilan.

“Kluster ini melibatkan majlis pengebumian yang diadakan di Bukit Rotan, Kuala Selangor pada 16 April lalu dan sehingga 29 April seramai 16 orang dikesan positif,” katanya.


Pengarang :